News

 

Sarawak serius perangi rabies

Posted on 03 Oct 2021
Source of News: Utusan Borneo: Sarawak

Source: Utusan Borneo, Sarawak


Dr Sim (tengah) melancarkan sambutan Hari Rabies Sedunia 2021 di Hab Inovasi Digital TEGAS di Kuching hari ini. Turut kelihatan Dr Adrian (kanan) dan Lo. Gambar PENERANGAN

KUCHING: Kerajaan Sarawak serius dalam usaha menghapuskan wabak rabies dengan matlamat Sifar Rabies dalam Manusia pada 2022 dan Sifar Rabies dalam Anjing pada 2025. 

Bagi tujuan itu kerajaan menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah meluluskan peruntukan berjumlah RM7.07 juta tahun ini di bawah Pelan Tindakan Bagi Program Kawalan dan Pembasmian Rabies 2021. 

“Kawalan dan pembasmian rabies adalah keutamaan kerajaan dan diletakkan di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) untuk pelaksanaan dan pemantauan yang berkesan. 

“Sebagai pengerusi JPBNS, saya harus berterima kasih kepada semua agensi terlibat terutama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) yang menyokong program kita termasuk masyarakat umum,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang disampaikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian sempena sambutan Hari Rabies Sedunia 2021 yang berlangsung secara hibrid dari Hab Inovasi Digital TEGAS di sini hari ini. 

Tambah Uggah, rabies adalah 100 peratus boleh dicegah dan dengan vaksinasi sekurang-kurangnya 70 peratus daripada populasi anjing boleh mencegah jangkitan rabies serta menghentikan kitaran penularan kepada manusia. 

Setiap tahun katanya dianggarkan 50,000 rakyat di dunia maut akibat rabies dan di Sarawak, 33 nyawa diragut sejak kes pertama dilaporkan pada Julai 2017. 

Sementara itu Pengarah JPVS Dr Adrian Susin Ambud dalam ucapannya berkata tahun ini tema sambutan Hari Rabies Sedunia adalah ‘Rabies: Facts, not Fear’, fokus kepada perkongsian fakta mengenai rabies dan tidak menyebarkan mengenai penyakit ini dengan bergantung kepada mitos dan maklumat salah. 

Tahun ini katanya disebabkan pandemik COVID-19, jabatan tidak mengadakan program vaksinasi rabies secara besar-besaran. 

Namun katanya pelbagai program lain diadakan antaranya larian virtual, kempen kesedaran, pertandingan poster digital dan terbaru aplikasi rabies yang dilancarkan hari ini. 

“Setiap tahun pasukan kita bekerjasama untuk menjayakan acara ini bagi mencapai status negeri bebas rabies dan matlamat sifar rabies bagi dunia pada 2030. 

“Untuk mencapai matlamat ini, kolaborasi semua adalah penting dan satu-satunya cara untuk menghapus rabies adalah dengan bekerjasama,” katanya. 

Dalam pada itu sambutan itu, turut diadakan pelancaran Aplikasi Rabies, penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan poster digital Hari Rabies Sedunia serta ceramah berkaitan isu rabies. 

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datu Antonio Kahti Galis serta yang lain.



Copyright © 2023 Department of Veterinary Services Sarawak
Last Updated On 12 Dec 2024

Monday - Thursday
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5.00pm

Friday
8:00am to 11:45am & 2:15pm to 5:00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter closed
image Polls
image Announcement