News

 

Rabies ragut dua lagi nyawa

Posted on 14 Mar 2021
Source of News: Utusan Borneo: Sarawak

Source: Utusan Borneo Sarawak


KUCHING: Wabak rabies meragut dua lagi nyawa di Sarawak menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 31 kes sejak wabak ini diisytiharkan di negeri ini pada 1 Julai 2017.  Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes kematian terbaharu merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 52 tahun. 

Mangsa katanya menafikan mempunyai sejarah digigit atau dicakar anjing atau haiwan mamalia lain, namun mangsa pernah menangkap dan membunuh seekor anjing peliharaan di kawasan rumah pekerja kilangnya pada 17 Oktober 2020 selepas anjing tersebut menggigit dua pekerja di situ.  Bagaimanapun katanya, bangkai anjing tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak untuk siasatan lanjut.   

“Pada 31 Januari 2021, mangsa dimasukkan ke Hospital Sibu kerana mengalami gejala sakit dada, kebas di bahagian tangan kanan, muntah dan sesak nafas. 

“Keadaan kesihatan mangsa merosot sehingga memerlukan bantuan alat pernafasan pada 5 Februari 2021 dan disahkan meninggal dunia pada 8 Februari dengan punca kematian adalah disebabkan jangkitan rabies,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Bagi kes kematian kedua pula, ia melibatkan seorang warganegara Malaysia berumur 54 tahun yang dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 5 Mac 2021 dengan gejala lemah di bahagian kaki, sakit di seluruh badan, demam, mual dan tiada selera makan. Keadaan kesihatan mangsa menurut Dr Noor Hisham merosot sehingga memerlukan bantuan alat pernafasan pada 7 Mac 2021. 

Berdasarkan sejarah diberikan, mangsa pernah digigit anjing peliharaannya pada 26 Disember 2020 di bahagian dada kanan semasa mengendalikan anjing tersebut. 

“Mangsa tidak pernah mendapatkan rawatan selepas digigit oleh anjing peliharaannya dan keputusan ujian rabies PCR ke atas sampel air liur mangsa yang dijalankan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 7 Mac 2021 adalah positif. Mangsa meninggal dunia di HUS pada 7 Mac 2021 dengan punca kematian adalah disebabkan jangkitan rabies,” ujarnya. 

Dengan penambahan dua kes baharu ini, jumlah keseluruhan kes sejak wabak rabies diisytiharkan di Sarawak pada 1 Julai 2017 adalah 33 kes dengan 31 kematian.  Hanya dua kes yang masih hidup dan kedua-duanya adalah kanak-kanak dengan sejarah mendapatkan rawatan awal. 

Berikutan perkembangan terbaru kes rabies ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak akan terus memantau situasi rabies di negeri ini dan bekerjasama dengan DVS Sarawak dan DVS Malaysia. Dr Noor Hisham turut memohon semua rakyat Sarawak untuk mematuhi semua nasihat serta arahan yang dikeluarkan kerajaan dan pihak berkuasa bagi memastikan masalah rabies di negeri ini dapat dikawal. 



Copyright © 2023 Department of Veterinary Services Sarawak
Last Updated On 12 Dec 2024

Monday - Thursday
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5.00pm

Friday
8:00am to 11:45am & 2:15pm to 5:00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter closed
image Polls
image Announcement