picture

News

 

Rabies: Bahaya Sedang Menanti Kita

Posted on 09 Jun 2020
Source of News: Suara Sarawak

Sumber: Suara Sarawak

SIBU: Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dr Annuar Rapaee mahu orang ramai di sini berhati-hati dengan anjing liar yang berkeliaran di jalanan.

Katanya, Sibu kini dilanda rabies dan ini satu lagi ancaman yang besar selain pandemik Covid-19.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) mengisytiharkan Sibu sebagai salah satu kawasan rabies. Ketika kita berdepan dengan Covid-19, penyakit rabies iaitu sejenis penyakit zoonotic menyerang Sibu,” katanya di sini.

Beliau yang juga Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi memberitahu, sebanyak dua kes rabies di Sibu dengan satu daripadanya melibatkan kematian.

“Satu kes meragut nyawa seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di Kampung Sentosa pada Mac lalu. Manakala satu kes lagi mencederakan seorang kanak-kanak lelaki enam tahun di Taman Sanhill Barat pada minggu lepas.

“Anjing yang mendatangkan kematian dan kecederaan itu telah disahkan positif rabies oleh JPBNS. Dengan dua kes ini, ia sudah cukup menyedarkan semua warga Sibu bahawa bahaya sedang menanti kita,” tegas Adun Nangka itu lagi.

Justeru beliau mahu masyarakat setempat melaporkan segera kepada pihak berkuasa tempatan jika ada melihat anjing berkeliaran walaupun ia anjing jiran mereka sendiri.

“Apa yang penting elakkan daripada jangkitan anjing. Tanpa gigitan anjing, tiada rabies,” ujarnya.

Dr Annuar berkata, sekiranya seseorang itu digigit anjing, luka itu hendaklah dicuci dengan air serta-merta dan mesti ke hospital selepas itu.

“Saya mengingatkan mereka yang berbasikal atau berjoging berhati- hati dengan anjing yang berkeliaran ini,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, beliau memaklumkan Majlis Perbandaran Sibu (MPS) agar memperhebatkan lagi usaha membendung masalah anjing yang berkeliaran di bandar ini.

“Kalau anda mempunyai anjing, jangan biarkannya keluar dari rumah anda. Kurungkannya di dalam sangkar atau ikatnya. “Jika anda membiarkan anjing anda berkeliaran keluar dari rumah dan berpotensi dijangkiti rabies, jaga anjing anda baik-baik.

“Jangan biarkannya menjadi pembawa virus atau penyebar kepada rabies ini.

Bersama-samalah kita membasmi serta membendung masalah rabies di Sibu,” tambahnya lagi.



Copyright © 2023 Department of Veterinary Services Sarawak
Last Updated On 15 Apr 2024

Monday - Thursday
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5.00pm

Friday
8:00am to 11:45am & 2:15pm to 5:00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter closed
picture Polls
picture Announcement