Source: Utusan Borneo, Sarawak
Enam penternak yang mendapat anugerah penghargaan daripada DVSS merakam kenangan bersama Dr Rundi (tiga kanan), Dr Adrian (tiga kiri) serta tetamu lain.
BINTULU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mencegah kemasukan penyakit bawaan haiwan khususnya penyakit kaki dan mulut (FMD) serta membasmi penyakit demam babi Afrika (ASF).
Pengarahnya Dr Adrian Susin Ambud berkata, pihaknya telah mengambil tindakan segera dan langkah berterusan untuk membendung penularan penyakit bawaan haiwan tersebut demi kepentingan kesihatan awam dan ekonomi negeri ini.
Katanya, kita tiada pilihan lain melainkan bekerjasama dengan agensi lain seperti Immune Belt Enforcement Team (IBET) Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS).
"Kita menghadapi cabaran luar biasa sekarang ini khususnya rabies dan ASF yang telah membawa kerugian besar kepada golongan penternak," katanya dalam ucapan aluan pada Majlis Penghargaan Malam Gala DVSS 2022 bertemakan Malam Kebudayaan di sebuah hotel di sini, kelmarin.
Justeru katanya, tanpa ragu setiap daripada kita seboleh mungkin perlu bekerja keras berbanding sebelumnya untuk mengekalkan status bebas FMD dan meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) dalam mana-mana komoditi yang diusahakan.
Katanya, Australia dan New Zealand (sebagai negara penternak dan pengeksport terbesar lembu daging dan tenusu dunia) melihat FMD sebagai musuh utama kedua-dua negara tersebut.
Pada masa sama katanya, beberapa sektor penternakan perlu diberi perhatian disebabkan Sarawak masih mengimport sumber makanan bagi memenuhi permintaan antaranya dalam sektor ruminan.
"SSL untuk daging lembu adalah 12 peratus, daging kambing (5.5 peratus) dengan sasaran SSL untuk dua komoditi itu akan dipertingkatkan kepada 25 peratus menjelang 2030 dan 50 peratus pada 2050," katanya sambil menambah, tahun ini Sarawak mengimport daging kerbau sejuk beku bernilai RM100 juta dari India.
Jelasnya, beberapa pendekatan telah dikenal pasti dan sedang dilaksanakan antaranya memperkukuhkan pelaksanaan Sistem Pawah ruminan untuk lembu, kerbau, kambing dan biri-biri, meningkatkan populasi lembu menerusi program pembangunan ternakan dan kemudahan pelaburan sektor swasta.
Selain itu katanya, penswastaan stesen ternakan yang membawa kepada SSL khususnya dalam sektor ruminan yang diketuai sektor swasta berpengalaman iaitu Stesen Temudok Sri Aman untuk pembiakan kambing dan biri-biri, Stesen Karabungan Miri untuk pembiakan lembu dan Stesen Kerbau Maragang di Lawas untuk pembiakan kerbau dan pengeluaran keju mozzarella daripada susu kerbau.
Katanya, DVSS yang baharu berusia lima tahun mempunyai 260 kakitangan, telah melalui pelbagai cabaran sekali gus akan sedaya upaya dipimpin dengan harapan dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak.
Terdahulu seramai 21 kakitangan DVSS menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), 13 pesara, enam pegawai dan enam penternak berjaya pula menerima anugerah penghargaan pada malam tersebut.
Penternak berjaya dari Bintulu terdiri daripada Tan Hock Song (Pang Seng Farm Enterprise) untuk ternakan babi komersial, Tiong Hua Kiong (Chicwan Poultry Farms Sdn Bhd) ternakan ayam pedaging komersial, Mamat Juna (Farm Mamat Juna) ternakan ayam kacukan, Leo Song Cheng (Borneo Rabbit Farm) ternakan arnab pedaging, Mohren Mohamad (Momobes Farm) ternakan kambing pedaging dan Basah Kesing@Ali Basah (Bintulu Husbandry) untuk ternakan biri-biri.