Source: Suara Sarawak
KUCHING: Lembu dan kambing di Sarawak adalah bebas daripada penyakit kaki dan mulut (FMD), kata kata Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.
Menurutnya, walaupun negeri ini berdekatan dengan Kalimatan Barat Indonesia, haiwan terbabit tidak terdedah kepada jangkitannya kerana Sarawak telah mengharamkan pengimportan lembu dari negara terbabit.
“Justeru, ternakan seperti lembu dan kambing yang akan dikorbankan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di negeri ini adalah sihat dan bebas penyakit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tegasnya, Jabatan Veterinar juga telah mengenakan sekatan atau kawalan pergerakan ternakan dari kawasan kawalan FMD ke kawasan yang lain dan Sarawak kerana kedua-dua haiwan terbabit terdedah kepada penyakit tersebut.
Dalam pada itu katanya, Sarawak mempunyai bekalan lembu yang mencukupi untuk sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini.
“Negeri ini memerlukan kira-kira 2,000 ekor lembu setiap tahun bagi ibadah korban dan bekalan haiwan itu adalah mencukupi,” ujarnya.