picture

News

 

Limbang, Kapit, Miri diisytihar Kawasan Kawalan Demam Babi Afrika

Posted on 30 Aug 2021
Source of News: Berita Harian

Source: Berita Harian

Gambar Hiasan

KUCHING: Bahagian Limbang, Kapit dan Miri kini diisytiharkan sebagai Kawasan Kawalan Demam Babi Afrika (ASF).

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sarawak, Dr Adrian Susin Ambud, berkata pengisytiharan dibuat Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berikutan penemuan penyakit ASF di Sabah dan Kalimantan Utara.

"Perintah ini dilaksanakan mengikut Seksyen 35 (1) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999. JPBN Bahagian Limbang yang dipengerusikan Residen Bahagian Limbang telah bermesyuarat hari ini dan tindakan bersepadu membabitkan pelbagai agensi akan dilaksanakan untuk mengekang penyakit ASF daripada merebak," katanya.

Dr Adrian berkata, JPV negeri telah melaksanakan langkah kawalan seperti pengharaman pengimportan babi dan produk babi ke negeri ini dari negara atau negeri yang terjangkit dan memantapkan pemantauan ke atas semua ladang babi komersial serta babi kampung di seluruh Sarawak.

Pada masa sama, beliau berkata, JPV turut melaksanakan penakaian babi di kawasan yang dijangkiti di Kampung Buduk Bui di Lawas, Limbang serta pengharaman pengerakan babi dan produk ternakan itu dari kawasan yang diisytiharkan sebagai Kawasan Kawalan ASF ke kawasan lain.

"Pengawalan kemasukan babi dan produk babi dari kawasan lain ke kawasan yang diisytiharkan sebagai Kawasan Kawalan ASF memerlukan permit pergerakan dari pejabat JPV bahagian," katanya.

Katanya, orang awam tidak dibenarkan memindah atau membawa babi hidup, daging babi atau hasil produk babi keluar dari kawasan kawalan, selain dilarang membawa masuk, jual beli secara dalam talian atau aktiviti kiriman pos sebarang daging babi atau hasil produk babi tanpa permit.

Sementara, beliau berkata, penternak telah diarahkan untuk tidak memberi sisa makanan dapur dan sekiranya ternakan babi diberi makanan lebihan dapur, ia perlu dimasak sekurang-kurangnya 30 minit untuk membunuh virus ASF.

Katanya, penternak juga perlu melaporkan kepada Pejabat JPV terdekat sekiranya terdapat sebarang kematian babi ternakan.

Dr Adrian menegaskan, babi atau hasil produk babi yang dipindahkan atau ditawarkan untuk dijual atau dijual dalam pelanggaran perintah boleh disita atau dimusnahkan oleh JPV.

"Tiada pampasan akan dibayar untuk sebarang babi atau hasil produk babi yang dirampas atau dimusnahkan mengikut seksyen berkenaan. Kegagalan mematuhi arahan berkenaan akan dikenakan denda tidak melebihi RM1,000.

"Sesiapa yang didapati membawa masuk ternakan dan hasil ternakan dari negara luar tanpa import permit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 dan/atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau turut memberi jaminan kepada orang ramai bahawa daging babi di pasaran adalah selamat untuk dimakan kerana sumber daging babi terbabit dari ladang yang bebas virus ASF.



Copyright © 2023 Department of Veterinary Services Sarawak
Last Updated On 15 Apr 2024

Monday - Thursday
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5.00pm

Friday
8:00am to 11:45am & 2:15pm to 5:00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter closed
picture Polls
picture Announcement