News

 

Kerbau susu 'Murrah' bakal beri impak besar kepada sosioekonomi utara Sarawak

Posted on 21 Nov 2022
Source of News: Utusan Borneo Sarawak

Source: Utusan Borneo Sarawak

LAWAS: Kemasukan baka kerbau susu ‘Murrah’ ke Sarawak dan diternak di Stesen Penternakan Kerbau Maragang, Lawas, pada masa akan datang bakal memberi impak besar kepada sosioekonomi masyarakat terutamanya penternak kerbau di kawasan utara Sarawak seperti Lawas dan Limbang. 

Penolong Pegawai Veterinar Kanan Pejabat Veterinar Daerah Lawas Robine Asut berkata usaha kerajaan ini sekaligus ‘membuka pintu’ kepada generasi muda untuk menceburi bidang penternakan dan menjadi usahawan berjaya. 

“Apabila sudah ada kerbau Murrah nanti, ia akan memberi hasil yang berlipat kali ganda dimana penternak akan mendapat dua hasil dalam satu masa iaitu pertamanya susu kerbau yang boleh dikatakan sebagai ‘emas putih’, keduanya daging kerbau iaitu ‘emas merah’.

“Ini bakal meningkatkan pendapatan penternak kerbau yang sekarang dari RM4,000 sebulan kepada RM6,000 sebulan hasil daripada susu dan daging kerbau ini,” katanya ketika ditemu bual pemberita di Stesen Penternakan Kerbau Maragang, Lawas, di sini. 

Robine menjelaskan ini adalah hasrat kerajaan negeri Sarawak melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak agar dapat meningkatkan populasi kerbau dan juga bilangan penternak yang terlibat yang kemudiannya meningkatkan pendapatan bulanan mereka dengan adanya inisiatif baharu ini.

“Sekarang kita ada lebih kurang 500 penternak di Sarawak dan mungkin menjelang tahun 2030 jumlah ini akan dilipat gandakan kepada 800 orang penternak dengan adanya penglibatan golongan belia yang berminat dalam industri ternakan kerbau ini. 

“Jadi untuk orang-orang muda kita yang sedang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi kini, mereka boleh menceburi bidang ini (selepas tamat belajar) dan tidak hanya bergantung dengan kerja-kerja di sektor kerajaan mahupun swasta sahaja.

“Sebelum ini industri penternakan kerbau diusahakan oleh mereka yang sudah berumur, disebabkan itu kini orang muda dipanggil untuk membangunkan industri ternakan di Sarawak pada masa akan datang kerana mereka ada pemikiran yang baik dan mempunyai akses kepada teknologi maklumat,” ujarnya. 

Dalam pada itu, Robine berkata dengan adanya baka kerbau Murrah ini nanti akan dapat menghasilkan susu antara 15 hingga 25 liter sehari. 

“Berbanding dengan kerbau sawah yang ada sekarang, kita hanya dapat menghasilkan lima ke enam liter sahaja susu, itupun hanya cukup untuk kerbau itu memberikan susu kepada anaknya. 

“Kerbau Murrah pula jika kita jaga pemakanannya dengan baik, kualiti makanan dan nutrien dijaga, kita akan dapat menghasilkan susu antara 15 ke 25 liter satu hari. 

“Itu baru satu ekor kerbau, kalau penternak ada 10 ekor kerbau Murrah, kita bayangkan pendapatan harian dia bakal terima, mungkin mereka akan mendapat pendapatan ratusan ringgit untuk satu ekor kerbau untuk satu hari,” katanya. 

Melalui susu kerbau Murrah ini kelak akan diproses menjadi keju mozarela yang mana kilang pemprosesannya bakal dibina di stesen berkenaan dan dijangka siap pertengahan tahun 2024. 



Copyright © 2023 Department of Veterinary Services Sarawak
Last Updated On 12 Dec 2024

Monday - Thursday
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5.00pm

Friday
8:00am to 11:45am & 2:15pm to 5:00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter closed
image Polls
image Announcement